13 February 2014

Keletihan Semasa di Awal Kehamilan


Adakah anda mengalami keletihan yang luar biasa di awal kehamilan? Sekiranya ya..blh la membaca info di bawah...

Mengapakah saya berasa terlalu letih semasa hamil?

Anda tidak keseorangan! Kehamilan meletakkan tekanan yang kuat ke atas seluruh badan anda, dan ini boleh membuatkan anda sangat letih. Apa yang kebanyakan wanita paling ingat mengenai fasa awal kehamilan ialah rasa letih yang berterusan. Mereka yang biasa berjaga malam pun mendapati mereka terpaksa menahan mengantuk untuk menonton program TV kegemaran mereka.

Sepanjang kehamilan, terutamanya dalam trimester pertama, badan anda bekerja dengan lebih kuat. Pada waktu ini, badan anda sedang dalam proses membuat uri (plasenta) yang merupakan satu sistem sokongan hayat bagi bayi anda. Proses ini hanya akan selesai pada akhir trimester pertama. Tahap hormon dan metabolisme anda juga sedang berubah dengan pesat, manakala gula dalam darah serta tekanan darah mungkin akan menurun. Kesemua ini menyebabkan anda menjadi terlalu letih.

Berapa lamakah keletihan ini akan berlanjutan?

Ia berbeza bagi setiap orang, tetapi wanita hamil biasanya mengalami keletihan dalam trimester pertama dan ketiga.

Bagi kebanyakan wanita dalam trimester pertama, keletihan merupakan salah satu simptom mabuk hamil pagi yang hadir bersama loya, muntah dan hilang selera makan. Jika simptom anda mengganggu tidur, tidak hairanlah anda akan berasa bertambah letih dan tidak selesa.

Anda mungkin merasa bosan berada dalam keadaan ini, tetapi simptom-simptom ini biasanya akan berlalu tanpa perlu sebarang rawatan. Bagi kebanyakan wanita (kira-kira enam daripada 10) simptom-simptom mabuk hamil pagi hilang menjelang 12 minggu kehamilan. Bagi yang lain, mereka berasa lebih baik dalam trimester kedua. Kurang daripada satu dalam 10 orang yang tidak bernasib baik masih berasa tidak sihat selepas 16 minggu kehamilan.

Harap-harap, anda ialah salah seorang yang bernasib baik dan mungkin akan rasa sangat bertenaga dalam trimester kedua dan membawa ke trimester ketiga di mana anda akan mula rasa letih semula dalam bulan ketujuh.

Apakah yang boleh saya lakukan untuk menghadapi keletihan semasa hamil?

Dengar apa yang badan anda cuba beritahu
Cuba tidur sebentar pada waktu siang atau tidur malam lebih awal. Di tempat kerja, 15 minit tidur sebentar pun boleh membuat perbezaan, jadi jika anda bernasib baik mempunyai pejabat yang bertutup, tutuplah pintu, letakkan kepala anda di atas meja dan berehat. Atau cuba tidur semasa waktu rehat tengahari – anda boleh tidur dalam kereta jika tiada tempat lain untuk tidur.

Cuba ubah jadual
Jika boleh, bawa balik kerja untuk dibuat pada hari minggu supaya anda boleh pulang awal sekali-sekala. Atau jika anda sudahpun menjadi ibu, berehatlah sekali-sekala dan tinggalkan anak-anak anda dengan orang lain supaya anda boleh tidur.

Pastikan anda jaga makan
Anda tidak perlu mula "makan untuk dua orang" sebelum trimester ketiga dan begitu pun anda cuma perlukan kira-kira 200 hingga 300 kalori tambahan setiap hari daripada makanan berkhasiat, bukannya kerepek atau coklat. Pemakanan yang sihat yang mengandungi sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh, susu rendah lemak dan daging tanpa lemak boleh memberi tenaga; sebaliknya, makanan ringan hanya menjejaskan tahap tenaga anda. Makan dan minum yang sedikit tetapi kerap dapat membantu menangani loya dan muntah.

Bertahanlah
Tidak lama lagi anda akan berada dalam trimester kedua dan harap-harap anda akan kembali bertenaga. Anda mungkin cukup bertenaga untuk pergi menonton wayang atau bercuti hujung minggu, walaupun anda mungkin tidak mahu menjadikannya sebagai satu kebiasaan. Tidak lama lagi anda akan merenung kembali waktu ini di mana tidur anda tidak terganggu sebagai satu nostalgia. Jadi tidurlah sebanyak mungkin selagi anda boleh.
Semakan terakhir: Februari 2012

Sumber : babycenter
 
 

1 comments:

PERMATABIRU said...

dah lama tak singgah sini..take care..^_^

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Kombinasi Simpulan Tocang dan Manik Tabur

Blooming Flowers

Live Traffic Feed

Copyright 2010..anie&co...All Rights Reserved. Powered by Blogger.

© 2011 Seindah Biasa, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena